DENGAN tangan kiri yang berbalut dan langkah longlai, seorang wanita yang berumur dalam lingkungan umur 40-an membawa sepinggan nasi kosong. Nasi itu putih dan berkilat. Tiada langsung lauk-pauk yang melengkap hidangan.
Di ruang tamu rumah sewanya yang agak bersepah, beberapa orang kanak-kanak menunggu untuk menikmati menu makan tengah hari.
Sambil menggaul nasi tersebut, tangannya pantas menyuakan makanan itu kepada seorang anak kecil yang sedang menangis.
Walaupun pada mulanya kanak-kanak terbabit enggan membuka mulut, namun nasi putih kosong itulah yang menjadi santapannya.
Mungkin kerana lapar, anak kecil yang langsung tidak mengetahui corak kehidupan yang dilaluinya itu menerima apa sahaja yang disuapkan si ibu.
“Tengoklah, itu sahaja makanan yang ada di rumah ini. Nasi kosong yang digaul dengan minyak dan sedikit garam. Jadilah buat alas perut mereka,” ujar Faridah Fazal Ahmad, 36, salah seorang wanita Rohingya pelarian Myanmar yang fasih berbahasa Melayu dan menetap di rumah usang tersebut.
Ditanya mengapa tangan wanita itu berbalut, Faridah dengan wajah yang sayu berkata, ia disebabkan rutin mengetuk besi buruk untuk dijual bagi menampung kehidupan.
Itu sebahagian insiden yang menyentuh hati apabila menyaksikan kedaifan komuniti pelarian Rohingya Muslim di sekitar kawasan Kampung Tasik Tambahan, Ampang, Selangor.
Jika dilihat mengenai berita-berita yang merakamkan kesengsaraan etnik yang tertindas dan dinafikan hak-hak politik, sosial dan budaya oleh pemerintah junta di Myanmar itu, sudah terlalu banyak untuk dihitung.
Namun, isu sejak puluhan tahun itu masih belum bernoktah. Etnik yang 90 peratus daripadanya beragama Islam itu tetap tidak diakui kewujudan mereka.
NASIB anak-anak pelarian Rohingya ini perlu dibela agar tidak menjadi orang gelandangan apabila dewasa kelak.
Malah, mereka kehilangan tanah yang diserahkan kepada etnik Rakhin beragama Buddha.
Penindasan yang berterusan menyebabkan mereka terpaksa menjadi pelarian dan mencari perlindungan di negara lain.
Memetik kata-kata jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), Kitty McKinsey menyebut bahawa etnik Rohingya mungkin merupakan golongan masyarakat yang langsung tiada rakan di dunia, merupakan satu penghinaan kepada mereka.
“Secara keseluruhan, tiada kumpulan atau masyarakat yang menyokong mereka. Boleh dikatakan tidak ada walau seorang pun daripada mereka mempunyai status sah menduduki mana-mana negara di dunia,” kata McKinsey dalam satu temu bual bersama agensi berita antarabangsa AP pada bulan Februari 2009.
Faridah yang datang ke Malaysia sejak dua dekad lalu mengakui sebagai etnik pelarian, mereka merupakan golongan yang terpinggir di bumi asing.
Namun, dia bersyukur kerana masih bernafas dan meneruskan survival di negara orang.
Ibu kepada lima cahaya mata yang berusia di antara 16 hingga dua tahun itu memberitahu, untuk menyara kehidupannya sekeluarga, dia menjual bunga di sekitar kawasan tersebut. “Apa sangatlah keuntungan hasil daripada menjual bunga. Nak dapatkan RM10 sehari pun susah. Tetapi, saya kena bekerja untuk cari rezeki yang halal,” jelasnya.
Ditindas tentera Burma
Menurut Koordinator Program Arakan Rohingya Refugee Committee (ARRC) Malaysia, Mohamad Sadek Ali Hossain, 38, kehidupan di Arakan boleh digambarkan seolah-olah neraka dunia kepada etnik tersebut.
“Sejak tahun 1962 kami ditindas oleh rejim tentera Burma ketika itu akibat tekanan politik. Mereka tidak membenarkan kami menunaikan solat di masjid, dihalang mendapat pendidikan dan menerima rawatan perubatan.
“Sebaliknya, kami dipaksa bekerja sebagai askar dan perlu membayar duit kepada pemerintah untuk membina kuil-kuil Buddha sedangkan mereka tahu bahawa kami adalah penganut agama Islam.
HARUN (kanan) menggunakan ilmu yang ada untuk menabur bakti pada anak-anak Rohingya dengan mengajar mereka mengenal al-Quran.
“Selain itu, masyarakat Rohingya juga dihalang berkahwin untuk mengelakkan perkembangan zuriat dan selama tiga hari seminggu, kami wajib bekerja secara percuma tanpa gaji,” terang Mohamad Sadek yang datang ke Malaysia sejak empat tahun lalu.
Dianggarkan kira-kira 750,000 etnik Rohingya menetap di kawasan pergunungan utara di wilayah Rakhine atau Arakan yang bersempadan dengan Bangladesh.
Mereka dipercayai berasal daripada keturunan pedagang Arab dari abad ketujuh.Warna kulit mereka agak gelap berbanding rakyat Myanmar yang berkulit cerah.Di Malaysia, hanya 26,000 pelarian Rohingya diiktiraf oleh UNHCR.
“Kami hanya bergantung kepada kad keahlian UNHCR dan tidak memiliki sebarang dokumen yang sah. Ini menyebabkan kami tidak boleh mendapat sebarang pekerjaan.
“Lebih malang, anak-anak Rohingya tidak berpeluang menerima pendidikan formal,” tutur Muhammad Husson Ali, 59, pula.
Asas-asas Islam
Buat masa ini, terdapat lapan buah sekolah Rohingya di bawah kendalian UNHCR, namun enam daripadanya menerima bantuan daripada persatuan Buddha dan Kristian.
Buat masa ini, terdapat lapan buah sekolah Rohingya di bawah kendalian UNHCR, namun enam daripadanya menerima bantuan daripada persatuan Buddha dan Kristian.
Situasi itu amat membimbangkan Muhammad Husson apabila memikirkan masa depan generasi muda Rohingya. Tidak mustahil mereka menjadi murtad atau memilih agama selain Islam.
Bagi Harun Bashir, 44, yang sudah 18 tahun menetap di Malaysia, dia terpanggil untuk mengajar asas-asas Islam kepada anak-anak etnik Rohingya yang berada di rumah-rumah atau di pejabat ARRC.
Dia yang pernah bergelar guru di sebuah sekolah pondok di daerah Arakan satu ketika dahulu bersyukur kerana mereka mudah menerima apa yang diajar.
“Alhamdulillah, anak-anak ini boleh membaca Muqaddam dan al-Quran dengan baik. Setiap minggu, saya akan mengajar selama lima hari dalam tempoh satu hingga dua jam.
“Saya harap, dengan cara ini setidak-tidaknya ada usaha bagi mengelakkan berlakunya insiden murtad di kalangan generasi muda Rohingya. Saya tidak mahu mereka hilang agama,” ungkap Harun yang melakukan kerja sampingan seperti mengambil upah memotong rumput.
Salah seorang murid Harun, Siti Nurhaliza Nor Mohamed, 10, berkata, dia sudah pandai membaca al-Quran pada usia tujuh tahun.
Anak bongsu daripada tujuh adik beradik itu juga berjaya menunaikan ibadah puasa selama sebulan tanpa meninggalkan sehari pun. Adakah dia mengetahui sejarah etnik Rohingya? Anak kecil itu pantas menggeleng.
“Saya tak tahu sangat pasal itu. Tapi, apa yang saya tahu kami adalah pelarian yang menumpang di negara orang,” tutur Siti Nurhaliza yang fasih bertutur bahasa Melayu. Dia juga bercita-cita untuk menjadi seorang guru, satu impian tinggi yang mungkin tidak akan dapat dicapai jika nasib pelarian Rohingya tidak dibela.
Taraf kerakyatan
Sementara itu, Pensyarah Politik dan Pen tadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, isu pelarian Rohingya ini hanya akan selesai sekiranya negara mereka kembali pada kerajaan demokrasi.
Sementara itu, Pensyarah Politik dan Pen tadbiran Awam di Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain berkata, isu pelarian Rohingya ini hanya akan selesai sekiranya negara mereka kembali pada kerajaan demokrasi.
“Seluruh dunia tahu bagaimana penghinaan yang diterima etnik tersebut daripada kerajaan pemerintah junta Myanmar.
“Jadi, agak sukar untuk mana-mana negara berurusan dengan mereka terutama dalam isu pelarian ini,” jelasnya sambil memberitahu terdapat dua jenis pelarian Rohingya iaitu pelarian politik dan biasa.
Tambahnya, isu tersebut memang memberi kesan besar terhadap masalah sosial, pengemis dan meningkatkan lagi jumlah orang gelandangan di Malaysia.
Namun, sedar atau tidak, ramai pelarian Rohingya dieksploitasi oleh pihak tertentu yang mengambil kesempatan di atas nasib buruk mereka.
“Antaranya diberi upah yang terlalu rendah untuk kerja-kerja buruh atau pelayan restoran dan sebagainya.
“Justeru, pada pendapat saya mereka ini terutama yang sudah menetap begitu lama di Malaysia perlu diberi taraf kerakyatan (PR) yang secara tidak langsung akan menanamkan sifat sayangkan negara ini,” ujarnya sambil menegaskan bahawa satu jawatankuasa pemilihan perlu ditubuhkan untuk tujuan tersebut.
Kepada sesiapa yang ingin menghulur sumbangan peribadi kepada komuniti Rohingya sama ada dalam bentuk kewangan, pakaian mahu pun makanan, boleh berhubung dengan Mohamad Sadek di talian 016-309 4599 atau layari laman web www.arrcrohingya.ning.com.
No comments:
Post a Comment