Tuesday, June 12, 2012

Selamatkan saki baki Muslim Rohingya


Majdan Dagang, 12 Jun 2012

(Warga Rohingya berkumpul di Kuala Lumpur bagi membantah pembunuhan keluarga mereka di sana)

KUALA LUMPUR: Warga Rohingya telah berkumpul berhampiran kedutaan Amrika Syarikat dekat sini memohon bantuan antarabangsa untuk menyelamatkan saki baki keluarga mereka yang berada di Myanmar sebelum terlambat.

Mereka merayu bantuan antarabangsa menangani insiden terbaru yang berlaku di wilayah Arakan, Myanmar sekarang ini.

Selain menghantar memorandum rayuan bantuan ke kedutaan Amerika Syarikat, mereka juga menghantar memorandum yang sama ke kedutaan British, China, Rusia dan Perancis.

Dianggarkan lebih 1,000 orang warga Rohingya berkumpul bagi menyatakan bantahan mereka sambil memegang pelbagai sepanduk yang mengecam tindakan penghapusan etnik oleh puak Rakhine.

Menurut jurucakap perhimpunan, Abdul Ghani, Timbalan Presiden, Rohingya Society in Malaysia (RSM), sehingga kini lebih 1500 muslim Rohingya dibunuh dan lebih 3000 lagi cedera.

Angka itu dijangka terus meningkat kerana tiada usaha daripada mana-mana pihak menghentikannya – termasuk pihak polis dan tentera Myanmar.

Beliau bimbang jika pihak antarabangsa lambat bertindak, kemungkinan semua Muslim Rohingya akan lenyap daripada bumi Arakan.

Dalam memorandum tersebut, Muslim Rohingya melalui wakil NGO di Malaysia iaitu NDPHR, MERHROMRSM, RARC dan ERCA mendesak supaya PBB menghantar segera pasukan pengaman agar penghapusan etnik dapat dihentikan.

Mereka meminta PBB menghantar misi segera ke kawasan serius dan menyelamatkan baki Muslim Rohingya yang masih hidup.

Pada masa yang sama meminta agar media antarabangsa dibenarkan masuk dan memantau keadaan di seluruh Arakan.

Di samping itu, bagi membantu mangsa yang tercedara, bantuan kemanusiaan dan bantuan perubatan hendaklah dibenarkan masuk bagi membantu mangsa yang cedera dan kebuluran.

Perhimpunan ini juga menuntut Junta tentera Myanmar memberi maklumat sebenar situasi di wilayah Arakan dan mendesak PBB dan badan penyiasat bebas menjalankan siasatan agar penjenayah dapat didakwa.

Salah seorang peserta perhimpunan yang dikenali sebagai Husin Ahmad bin Jalal Ahmad mendesak agar pihak media dibenarkan masuk ke sana bagi melaporkan keadaan sebenar.

“Ibu dan ayah saya masih di sana dan kami tidak tahu nasib mereka sama ada masih hidup atau sudah dibunuh,” ujarnya yang telah menetap di Malaysia sejak 25 tahun yang lalu bersama isterinya.

Source: harakahdaily

No comments:

Post a Comment